Ahad, 28 Oktober 2012

Pemandangan Malaysia Teragung


Interpretasi Karya

Redza Piyadasa
                                                                       Pemandangan Malaysia Teragung
The Great Malaysian Landscape  atau “Pemandangan Malaysia Teragung” karya  Redza Piyadasa adalah sebuah karya landskap yang menolak konvensi-konvensi di dalam catan itu sendiri.Karya ini menjelaskan persoalan sifat seni lukis landskap di mana ia dianggap sebagai catan dalam catan, iaitu sebuah karya yang dihasilkan di dalam karya itu sendiri. ‘The Great Malaysia Lansdscape’merupakan penggunaan teks dan juga karya awal beliau.Karya ini bermain dengan konflik mata-minda atau dikotomi imej pada teks.Karya “Pemandangan Malaysia Teragung” membuka lembaran baru kepada Piyadasa dalam membina sepenuhnya penghasilan karya-karya konseptual lewat tahun 70 an”.
Penggunaan typografi teks yang tercatat perkataan SURFACE, GRAVITY, HOOK, IMAGE, ZIP, EDGE, TITLE, FRAME, SIGNATURE begitu ketara dalam karya ini.Ianya dicadangkan oleh Piyadasa bagi menjelaskan tentang apa yang perlu ada di dalam sebuah karya yang ideal.Dua contoh yang diberikan beliau seperti surface,iaitu permukaan karya yang beliau hasilkan dan permukaan di dalam tingkap landskap.Karya ini mempunyai dua lapisan iaitu, satu permukaan di atas satu permukaan yang lain.Tindakan graviti terhasil kerana hook atau pencangkut dicadangkan digantung sedemikian rupa dan diikat pada tali.Zip yang dikatakan popular diawal 60’an yang sering digunakan oleh artis digambarkan dengan  dua jaluran garisan hijau secara vertical.Ini seolah-olah penegasan bagi mengeluarkan daripada aturan teknik hard-edge. Artis abstrak ekspresionis seperti Bernett Newman dan Clifford Still sering kali menggunakan garisan zip ini.Ianya begitu popular dan menjadi ikutan di era kemuncak aliran ini.Trend baru dengan penggunaan perkataan stensil digunakan oleh Piyadasa bagi memprovosikan perbandingan superfisial antara karya Larry Rivers dan Shusaku Arakawa. Beliau menerokai semula ekspressionis abstrak yang memberi kesinambungan dengan menggunakan kekuatan ekspresi bahasa.
Terdapat tiga fasa imej di dalam karya ini.Imej pertama dilukis secara hitam putih menggunakan pensil yang mengikut aturan akademik di dalam penciptaannya.Ianya dapat dilihat daripada gambaran imej pesawah sedang membajak di sawah padi menggunakan kerbau,di sini terdapat  penggunaan perspektif,titik tengah,dan juga garisan grid.Imej kedua masih menggunakan subjek yang sama,namun mula dirupakan dengan pigmen warna yang dihasilkan menggunakan cat air,iaitu sebuah medium yang sangat akrab dengan lukisan lanskap disebabkan sifat bahan itu yang spontan dan bersahaja.Imej ketiga pula adalah gambar foto yang memberi gambaran secara jelas tentang setiap butiran yang ada pada landskap itu.
Piyadasa cuba mempersoalkan tentang aktiviti membuat gambar dan juga menjelaskan metafora ketiga-tiga imej itu mengikut kronologi sejarah seni itu.Imej yang pertama bolehlah dijelaskan sebagai aliran pengajaran yang di bawa oleh renaissance yang mementingkan ketepatan dalam setiap penciptaan.Imej kedua boleh dikatakan sebagai lukisan semi-abstrak yang wujud di dalam seni lukis moden di abad ke-20 kerana ia menekankan imej yang separa mujarad.Imej ketiga merupakan gambar foto yang sering diterima pakai pada masa kini sebagai media seni yang kontemporari mengikut peredaran zaman setelah terciptanya kamera.
Frame atau bingkai merupakan satah empat segi bahawa pengkarya membahagikan luang lingkup kepada ukuran tertentu di dalam karyanya.Ianya boleh dikatakan sebagi garisan skop pembahagi bagi membezakan hasil karyanya dengan karya individu yang lain.Selain itu,bingkai berperanan sebagai pelindung kepada lukisan.Kebiasaannya,karya yang berbingkai menyampaikan maksud pelukis telah berpuas hati dengan apa yang beliau lakukan dan sebagai penghormatan untuk mengelakkan kerosakan imej di dalamnya terutama unsur luar yang merosakkan mutu penciptaan lukisan asal.
Edge atau tepian adalah ciri catan format empat segi satah yang mempunyai fungsi sama dengan bingkai bagi membahagikan lingkungan artistik yang dihasilkan oleh artis dan alam semula jadi.Title atau tajuk adalah label yang terdapat pada karya memberitahu maklumat di dalam karya berkenaan seperti yang terdapat dalam karya iaitu,nama artis,tajuk,tahun,medium atau bahan dan juga indeks.Signature atau tandatangan dalam karya ini terdapat di sebelah bawah karya yang tertulis ‘Piyadasa 72’.Ini menandakan ia ditulis oleh pelukis ternama serta tahun yang dihasilkan.Tandatangan juga bermaksud bahawa lukisan ini telah siap dihasilkan.
‘The Great Malaysia Landscape’dianggap pendekatan yang membuka fikiran baru.Ia dilihat sebuah catan yang kritikal dan arah baru dalam pembuatannya.Dalam erti kata lain,ia menjelaskan apa itu catan yang sebenar,menolak pendapat yang mengatakan catan itu imej yang suci yang dilebih-lebihkan.Ianya menyoal semula pembuatan catan bagi membuka definisi baru yang memberi alternatif lain, dan menyarankan lorongan yang lebih segar.Catan juga boleh dianggap sebagai suatu objek yang boleh diperbaharui.  ‘The Great Malaysian Landscape’ boleh dimartabatkan sebagai seni yang kembali menyusun nilai kebudayaan dari satu sudut.Dari aspek yang lain,ia memperlihatkan persoalan yang timbul pada logik yang terdapat pada penghasilan karya yang artistik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan