Sabtu, 20 Oktober 2012

Manusia dan Alamnya



Interpretasi Karya    
                           


Sulaiman Esa
Manusia dan Alamnya
Media Campuran
(1972 – 1973)

Sulaiman Esa menghasilkan karya ‘Manusia dan Alamnya’ 1972-1973 kerana penyertaan beliau dalam pameran ‘Manusia dan Alamnya’ yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1973.Sulaiman Esa telah memenangi anugerah utama bersama sebuah lagi karyanya yang lain bertajuk Self-Portrait” (1973).Karya ini merupakan komentar sosial yang pertama seumpamanya dihasilkan di Malaysia pada 1972.Karya ini merupakan tindakan artis terhadap dunianya,serta pengkajian antropologi manusia dari pelbagai  dimensi,iaitu manusia yang mempunyai pelbagai sifat,fizikal dan spiritual.Karya ini boleh dijadikan sebagai kajian akademik,sosial,seksual dan intelektual.
Melalui karya ini,pengkarya telah mengumpul buku lakaran dan surat-surat bagi menggambarkan setiap sudut aspek kehidupan beliau seperti ekonomi,sosial dan spiritual dengan berdasarkan 36 poket.Berdasarkan barisan pertama,poket ini menggambarkan tentang wujudnya beliau di dalam dunia ini dengan sijil kelahiran,kad pengenalan,pasport dan lesen memandu bagi memberitahu bahawa beliau mempunyai kenderaan pada waktu itu.
Berdasarkan barisan poket kedua pula,terdapat dokumen pencapaian dan kelulusan beliau dalam bidang akademik seperti, GSC dan diploma bagi menggambarkan beliau seorang yang intelektual.Barisan ketiga pula merupakan surat-surat daripada rakan dan lawan bagi menunjukkan beliau seorang manusia yang mempunyai kehidupan bersosial yang sering berhubung dan berkomunikasi.Manakala bahagian keempat pula merupakan bahagian koleksi peribadi yang beliau kumpul dan simpan seperti buku-buku,rekod piring hitam yang diminati, sajak, bahan bacaan dan lain-lain.
Menurut (Sabapathy dalam katalog pameran Piyadasa: An Overview 1962-2000) “Dalam penghasilan ini. Satu lagi penghasilan permukaan yang membawa dengan lebih dekat antara seni dan aktiviti sosial; terlalu banyak jurang yang dibuat sehingga merugikan kedua-duanya dan oleh kerana itu keterasingan melalui pendekatan ini ia sedikit sebanyak boleh di pertemukan semula, walaupun tidak menyeluruh atau boleh diatasi”. Dalam karya ini,Sulaiman Isa tidak mengikut aliran konvensional,sebaliknya mentransformasikan aktiviti sosial kepada gambaran imej formal yang dapat diukur daripada sudut nilai estetika di dalamnya. Secara keseluruhan isi utama karya ini adalah aktiviti sosial. Dibuat dengan menggunakan bahan mentah yang baik dan pendekatannya seolah-olah seperti mengambil dan menyimpannya di dalam album setem.Ianya diperlihatkan seperti cuba merendahkan sifat karya kepada tujuan,fungsi serta dari segi entiti dan estetik. Melalui komponen material yang digunakan, cara persembahan karya seni ini lebih kepada interaksi sosial.Di dalam dunia seni,karya ini merupakan dunia di mana kepercayaan menjadi keutamaan.Sempadan perbezaan antara dua dunia (seni dan sosial) pada waktu itu masih kecil dan sudah pasti akan dapat membentuk kesamaan tanpa ada pemisahan.Sosial dan seni berkait rapat bagi mengungkap kepelbagaian dan mamapu mengubah ruang serta jurang perbezaan.
Pengkarya cuba menggambarkan kehidupan beliau sebagai manusia biasa melalui setiap baris poket yang mengandungi aspek yang berbeza-beza.Bahagian kiri dan kanan poket menjadi ‘focal point’ penting dan ditekankan.Objek yang digunakan seperti baju kod, tali leher dan kasut di sebelah kiri.Manakala sejadah dan bunga mawar di bahagian kanan.Baju kod adalah simbol perlambangan cara pemakaian barat  di mana pengkarya terpengaruh kerana berada di sana selama lima tahun.Simbol perlambangan barat ditonjolkan oleh beliau di bahagian kanan. Manakala sejadah memberi makna beliau seorang muslim yang mempercayai islam walaupun terdedah dengan dunia barat.Beliau masih tetap mempercayai agamanya jauh di sudut hati. Semua ini digambarkan oleh beliau di bahagian kiri.Pengkarya mengenal semula identitinya sebagai seorang Melayu dengan menggunakan kain sejadah yang dinyatakan di dalam karyanya.Kongres kebudayaan kebangsaan (1971) di mana kerajaan, masyarakat dan intelektual dipersoalkan ‘mengapa seni pada waktu itu tidak memberi apa-apa kesan kepada identiti,budaya dan jati diri, tetapi lebih cenderung berkiblat kepada barat’. Melalui karya ini, beliau mula menyedari bahawa beliau mempunyai dua karakter iaitu,mempunyai ciri-ciri fizikal kebaratan dan spiritual Melayu islam.Berdasarkan karya ‘manusia dan alam’ ia menjelaskan bahawa walaupun mendapat pendidikan di barat namun beliau tetap seorang muslim.
Penggunaan material bunga, poket baju daripada nylon dan juga plastik  sangat dominan di dalam karya.Ini membawa maksud bahawa kehidupan beliau yang urban kerana sering didedahkan dengan estetik yang artifisial. Plastik menimbulkan budaya urban yang tidak semulajadi ,kerana apa yang pada plastik hanyalah sintetik.Sulaiman  Esa membawanya ke dalam masyarakat melalui penggunaan bahan harian yang lebih mesra rakyat  serta menolak elitis seni.Menurut Sabapathy lagi “Karya yang dihasilkan daripada bahan-bahan terbuang yang dikumpulkan sebagai penolakan terhadap persekitaran urban, ianya kini diberi nafas baru.Objek-objek yang digunakan seperti resit pembayaran,transaksi pembayaran dan sebagainya.Ini kerana setiap perlakuan menggambarkan keperibadian sosialnya.Kesemua objek tersebut dimasukkan ke dalam poket yang dihasilkan daripada bahan sintetik antara manusia dan alamnya.Ini menjadi penghubung dan peruntuh manifestasi kehidupan urban yang diterjemahkan ke dalam dunia seni.Sulaiman Esa menafikan sifat keindividuan seni dan membawa dirinya ke bawah.
Sebuah karya media campuran ini boleh dikategorikan sebagai karya ‘Potret Diri’. Ini kerana Sulaiman Esa sering mengandungi campuran dalam kehidupan beliau.Sulaiman Esa kembali menggambarkan potert diri beliau dalam dimensi yang berbeza berbanding rakan artis lain yang ada di zamannya.Karya ini merekodkan dengan lebih jelas lagi siapakah Sulaiman Esa walaupun tanpa wajah beliau di dalam karya ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan