Semalam,selepas menunaikan solat jumaat di Pusat Islam UNIMAS,saya menuju ke kedai 7eleven yang berdekatan Pavillion UNIMAS untuk membeli top-up.Setelah membeli top-up sebanyak RM5.00,saya menelefon Ma di kampung untuk meminta duit bagi membayar hutang rumah sewa sebanyak Rm104.00.Kebetulan masa tu Ma tengah masak untuk makan petang.Kehidupan sebagai pelajar universiti yang tercampak di bumi borneo membuatkan saya tidak berdaya untuk menampung sendiri segala pembayaran untuk belajar.Walaupun rasa malu untuk meminta wang tersebut, tetapi saya sudah tidak ada cara lain untuk menjelaskan hutang rumah sewa tersebut.Ma yang baik hati berjanji akan mengirim wang tersebut paling lewat pun pada keesokan harinya(hari ini).Ma juga ada memaklumkan bahawa Kak Eda telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan sulong.Di kala ini,saya berasa amat gembira dan bersyukur kepada Allah SWT setelah Ma memaklumkan sedemikian.
Pada semester yang lepas,Kak Eda melangsungkan perkahwinannya bersama abang ipar saya yang bernama Fendi berasal dari negeri yang sama.Masa tu saya tidak dapat pulang ke kampung kerana sibuk dengan urusan dunia(menyiapkan PTA yang bodoh).Perasaan bersalah terasa pada diri ini kerana tidak pulang semasa hari persandingan kakak tercinta,kakak kandung sendiri yang membesar di kampung bersama-sama.Pelbagai kekangan yang saya hadapi di Unimas,disamping tidak punya wang untuk beli tiket kapal terbang,kesibukan dengan tugasan dan PTA menyebabkan saya tidak dapat bergembira bersama keluarga di hari pernikahan Kak Eda.
Beberapa bulan kemudian,musim PRU ke 13 bermula.Saya ditawarkan oleh Pihak Kerajaan Negeri Kelantan untuk pulang mengundi di kampung dengan tiket flight free, bagi menunaikan tanggujawab kepada negara.Saya mula gembira ketika itu kerana keserabutan dengan tugasan di universiti akan saya tinggalkan buat sementara waktu untuk balik mengundi di kampung.Di samping,dapat mengubati hati yang rindu pada keluarga.Tengah hari,hari jumaat,selang beberapa hari sebelum PRU ke 13 bermula, saya berlepas dari airport Kuching menuju pulang ke KLIA.Setelah menunggu bas hampir dua belas jam di KLIA,saya kemudiannya bertolak pulang pada pukul 11.30 malam dengan bas menuju ke Kelantan.Masalah pengurusan bas yang disediakan oleh pihak PERAKAN tidak begitu efisien.Ini menyebabkan saya dan pengundi lain dari sabah dan sarawak terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan bas.
Pukul 5.00 petang,hari sabtu.Saya akhirnya tiba di bandar Kota Bharu.Kesibukan lalu-lintas di jalan raya berlaku kerana ramai anak-anak Malaysia yang pulang ke tempat masing-masing untuk mengundi.Abang ipar saya,abang In bersama keluarganya datang menjemput saya yang baru sahaja tiba di Kota Bharu.Sebelum menuju ke kampung,kami singgah dahulu di rumah Pak Sedara Abang In yang mengadakan kenduri kahwinnya,setelah isteri pertama beliau meninggal.
Hampir waktu maghrib,barulah saya tiba di rumah Ma di Pengkalan Kubor.Masa tu Kak Eda baru sahaja sampai di rumah setelah pulang dari kerja di Mydin ,kami pulang untuk sama-sama mengundi pada keesokan harinya.Setelah melihat Kak Eda yang sudah berada di halaman rumah,saya menundukkan kepala kerana berasa bersalah dan malu sebab tidak pulang di hari perkahwinannya beberapa bulan yang lalu.Saya menyesal kerana tidak berusaha untuk balik pada majlis perkahwinan kakak kandung sendiri beberapa bulan yang lepas.Sayangnya,hari itu,saya hanya dapat balik ke kampung hanya sehari sahaj bagi menunaikan kewajipan mengundi.Perasaan rindu pada keluarga sedikit sebanyak rasa terubat.Keesokan harinya,saya segera pulang ke Unimas sebelum keputusan pilihan raya ke 13 di umumkan.
Kini,Kak Eda telah bergelar seorang ibu.Kehadiran insan baru dalam keluarga ini, menggembirakan lagi suasana dalam generasi kami.Syukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahkan anak-anak yang menghiburkan hati kami.Semoga anak yang baru lahir ini menjadi anak yang solehah,berilmu dan berjaya di suatu hari nanti.Semoga keluarga kita semua selamat di dunia yang sementara ini, dan selamat juga di alam akhirat nanti yang pasti kekal di sana.
Mungkin di suatu hari nanti,ada di kalangan kita anak-anak,adik-beradik,anak saudara ,serta bayi yang baru dilahirkan ini (Belum Punya Nama)sudi membaca catatan ini.Mungkin di suatu hari nanti setelah saya tiada lagi di dunia ini.Semoga ianya mengukuhkan lagi tali persaudaraan di antara kita.Semoga keluarga kita bahagia selama-lamanya.
Wassalam...
![]() |
Anak Kak Eda yang lahir pada 04 Disember 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan