Rabu, 11 Disember 2013

Usaha

Hidup ini penuh dengan kemungkinan,
Menang atau kalah segalanya terpulang pada usaha kita.

Sabtu, 7 Disember 2013

Belum Punya Nama

Alhamdulillah,,,Segala puji hanya bagi Allah...Tuhan sekalian alam...Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW...

Semalam,selepas menunaikan solat jumaat di Pusat Islam UNIMAS,saya menuju ke kedai 7eleven yang berdekatan Pavillion UNIMAS untuk membeli top-up.Setelah membeli top-up sebanyak RM5.00,saya menelefon Ma di kampung untuk meminta duit bagi membayar hutang rumah sewa sebanyak Rm104.00.Kebetulan masa tu Ma tengah masak untuk makan petang.Kehidupan sebagai pelajar universiti yang tercampak di bumi borneo membuatkan saya tidak berdaya untuk menampung sendiri segala pembayaran untuk belajar.Walaupun rasa malu untuk meminta wang tersebut, tetapi saya sudah tidak ada cara lain untuk menjelaskan hutang rumah sewa tersebut.Ma yang baik hati berjanji akan mengirim wang tersebut paling lewat pun pada keesokan harinya(hari ini).Ma juga ada memaklumkan bahawa Kak Eda telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan sulong.Di kala ini,saya berasa amat gembira dan bersyukur kepada Allah SWT setelah Ma memaklumkan sedemikian.

Pada semester yang lepas,Kak Eda melangsungkan perkahwinannya bersama abang ipar saya yang bernama Fendi berasal dari negeri yang sama.Masa tu saya tidak dapat pulang ke kampung kerana sibuk dengan urusan dunia(menyiapkan PTA yang bodoh).Perasaan bersalah terasa pada diri ini kerana tidak pulang semasa hari persandingan kakak tercinta,kakak kandung sendiri yang membesar di kampung bersama-sama.Pelbagai kekangan yang saya hadapi di Unimas,disamping tidak punya wang untuk beli tiket kapal terbang,kesibukan dengan tugasan dan PTA menyebabkan saya tidak dapat bergembira bersama keluarga di hari pernikahan Kak Eda.

Beberapa bulan kemudian,musim PRU ke 13 bermula.Saya ditawarkan oleh Pihak Kerajaan Negeri Kelantan untuk pulang mengundi di kampung dengan tiket flight free, bagi menunaikan tanggujawab kepada negara.Saya mula gembira ketika itu kerana keserabutan dengan tugasan di universiti akan saya tinggalkan buat sementara waktu untuk balik mengundi di kampung.Di samping,dapat mengubati hati yang rindu pada keluarga.Tengah hari,hari jumaat,selang beberapa hari sebelum PRU ke 13 bermula, saya berlepas dari airport Kuching menuju pulang ke KLIA.Setelah menunggu bas hampir dua belas jam di KLIA,saya kemudiannya bertolak pulang pada pukul 11.30 malam dengan bas menuju ke Kelantan.Masalah pengurusan bas yang disediakan oleh pihak PERAKAN tidak begitu efisien.Ini menyebabkan saya dan pengundi lain dari sabah dan sarawak  terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan bas.

Pukul 5.00 petang,hari sabtu.Saya akhirnya tiba di bandar Kota Bharu.Kesibukan lalu-lintas di jalan raya berlaku kerana ramai anak-anak Malaysia yang pulang ke tempat masing-masing untuk mengundi.Abang ipar saya,abang In bersama keluarganya datang menjemput saya yang baru sahaja tiba di Kota Bharu.Sebelum menuju ke kampung,kami singgah dahulu di rumah Pak Sedara Abang In yang mengadakan kenduri kahwinnya,setelah isteri pertama beliau meninggal.

Hampir waktu maghrib,barulah saya tiba di rumah Ma di Pengkalan Kubor.Masa tu Kak Eda baru sahaja sampai di rumah setelah pulang dari kerja di Mydin ,kami pulang untuk sama-sama mengundi pada keesokan harinya.Setelah melihat Kak Eda yang sudah berada di halaman rumah,saya menundukkan kepala kerana berasa bersalah dan malu sebab tidak pulang di hari perkahwinannya beberapa bulan yang lalu.Saya menyesal kerana tidak berusaha untuk balik pada majlis perkahwinan kakak kandung sendiri beberapa bulan yang lepas.Sayangnya,hari itu,saya hanya dapat balik ke kampung hanya sehari sahaj bagi menunaikan kewajipan mengundi.Perasaan rindu pada keluarga sedikit sebanyak rasa terubat.Keesokan harinya,saya segera pulang ke Unimas sebelum keputusan pilihan raya ke 13 di umumkan.

Kini,Kak Eda telah bergelar seorang ibu.Kehadiran insan baru dalam keluarga ini, menggembirakan lagi suasana dalam generasi kami.Syukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahkan anak-anak yang menghiburkan hati kami.Semoga anak yang baru lahir ini menjadi anak yang solehah,berilmu dan berjaya di suatu hari nanti.Semoga keluarga kita semua selamat di dunia yang sementara ini, dan selamat juga di alam akhirat nanti yang pasti kekal di sana.

Mungkin di suatu hari nanti,ada di kalangan kita anak-anak,adik-beradik,anak saudara ,serta bayi yang baru dilahirkan ini (Belum Punya Nama)sudi membaca catatan ini.Mungkin di suatu hari nanti setelah saya tiada lagi di dunia ini.Semoga ianya mengukuhkan lagi tali persaudaraan di antara kita.Semoga keluarga kita bahagia selama-lamanya.

Wassalam...

Anak Kak Eda yang lahir pada 04 Disember 2013



Khamis, 5 Disember 2013

Cabaran Dalam Pemasaran Seni





GKP 2203 PEMASARAN SENI

Soalan 5 : Pemasaran Seni Adalah Lebih Mencabar Dan Lebih Sukar Berbanding Dengan Pemasaran Produk Biasa.Sila komen,



NAMA PENSYARAH : PROF DATUK DR HJ HASHIM AWANG

KUMPULAN : 03

NO.
NAMA PELAJAR
NOMBOR MATRIX
1
MOHD ZAMRI BIN HASSAN
27041
2
ARIFAH BINTI MAT YUTIM
29642
3
KU NAZHATUL SHIMA BINTI MOHAMED ABAS
30675
4
MOHAMMAD SAFRI BIN HADI
31128
5
MUHAMMAD IKWAN HAFIZUL BIN MOKHATAR
31404
6
NOOR FADILAH BINTI SAPIAN
31656
7
HAMHANI BINTI MOHAMAD MUSTAPA
34341
8
MUHAMMAD HARITH BIN GHAZALI
37321









Pemasaran Seni Adalah Lebih Mencabar Dan Lebih Sukar Berbanding Dengan Pemasaran Produk Biasa.


Maksud pemasaran ialah,

“Marketing is the activity, set of institutions, and processes for creating, communicating, delivering, and exchanging offerings that have value for customers, clients, partners, and society at large.”  — American Marketing Association 
“Marketing is the social process by which individuals and groups obtain what they need and want through creating and exchanging products and value with others.” — Philip Kotler 
Marketing is “The management process responsible for identifying, anticipating and satisfying customer requirements profitably.” — The Chartered Institute of Marketing 
           
Bermula daripada hal ini, Bidang seni turut terlibat dalam kegiatan pemasaran iaitu, pemasaran seni. Pemasaran seni adalah lebih mencabar dan sukar  jika dibandingkan dengan pemasaran produk biasa yang lain. Cabaran dan kesukaran yang dihadapi dalam memasarkan produk seni adalah selaras dengan persekitaran pemasaran seni, iaitu sosio-budaya,ekonomi, politik dan teknologi. Cabaran dan kesukaran dalam pemasaran seni juga berlaku di negara kita Malaysia.Terdapat beberapa perkara yang dapat  dibincangkan berkenaan cabaran dan permasalahan dalam pemasaran seni. Ianya dikatakan lebih sukar berbanding dengan pemasaran produk biasa. Antaranya adalah seperti berikut :



A) Persaingan dengan pasaran seni luar negara.
            Dalam konteks dunia pemasaran, sesuatu produk yang akan dipasarkan nanti, sudah semestinya tidak dapat lari daripada mengalami persaingan. Begitu juga dengan pemasaran seni yang turut menerima tempias yang sama dalam menghadapi daya saing yang semakin pesat. Persaingan memasarkan sesuatu produk seni berlaku dalam persekitaran ekonomi dan budaya setempat. Dalam konteks pemasaran seni, sesuatu produk seni menghadapi persaingan daripada dalam dan luar negara. Misalnya di Malaysia, negara kepulauan melayu ini mempunyai latar budaya yang hampir sama dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. Persamaan latar budaya ini sedikit sebanyak menyebabkan berlaku persaingan dalam memasarkan sesuatu produk seni. Persamaan sesuatu produk seni  dipasaran kemungkinan besar akan berlaku.Hal ini menyebabkan pemasaran seni di negara serumpun ini menghadapi masalah untuk merebut pasaran yang terhad. Contohnya, persaingan yang berlaku dalam memasarkan produk seni seperti industri muzik. Industri muzik di Malaysia terpaksa menghadapi persaingan yang sengit dengan kemasukan karya muzik daripada negara Indonesia. Ramai pengkarya dan pemasar industri seni muzik tempatan tidak dapat memasarkan karya muzik akibat  persaingan. Selain itu, kualiti karya muzik negara luar yang lebih baik serta harga yang ditawarkan berpatutan menyebabkan pemasaran seni muzik di Malaysia menjadi tidak kompetitif. Selain itu juga, pemasaran seni muzik di Malaysia menghadapi persaingan akibat daripada kelemahan penguatkuasaan di sempadan pintu masuk negara. Hal ini, menyebabkan berlakunya lambakan produk seni muzik asing yang turut menjejaskan pemasaran seni muzik di Malaysia. Ini sedikit sebanyak menjadi cabaran kepada pemasaran seni muzik di Malaysia untuk memasarkan produk seni tempatan. Permasalahan ini akan berterusan sekiranya kawal selia yang bersepadu tidak diambil  oleh pihak yang bertanggungjawab.Tidak seperti pemasaran produk biasa yang lain, contohnya pemasaran produk biasa seperti makanan,pakaian, kenderaan dan sebagainya.Persaingan dalam pemasaran produk biasa ini tidaklah begitu mencabar jika hendak dibandingkan dengan dengan pemasaran seni. Setiap manusia amat memerlukan keperluan asas tersebut. Pemasaran produk biasa mendapat banyak permintaan di pasaran dan ianya boleh dipasarkan di serata tempat di Malaysia tanpa menghadapi cabaran dalam persaingan yang berisiko tinggi.

B) Tiada sokongan peminat seni filem tempatan.
             Dalam pemasaran seni filem pula, filem-filem di pawagam mahupun televisyen tempatan tidak pernah putus menyiarkan filem dan drama bersiri dari luar negara. Drama dan filem yang paling banyak disiarkan di TV dan pawagam di negara ini datangnya dari Hong Kong, India, Indonesia, Korea, Jepun dan Filipina. Sehinggakan ada di antara drama bersiri yang diimport dari Indonesia serta ditayangkan di saluran TV mengambil durasi yang agak panjang dan mencecah ratusan episod. Hal ini berlaku kerana sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat tempatan yang lebih meminati seni filem luar negara berbanding seni filem tempatan.Secara tidak langsung Negara luar berjaya menguasai Pemasaran seni filem. Sayangnya, amat jarang kedengaran drama-drama bersiri atau filem-filem Malaysia yang berjaya ditayangkan di pawagam mahupun TV di Negara luar sejak dari dulu sehinggalah kini. Usaha untuk memasarkan seni drama-drama dan filem-filem tempatan di dalam dan luar negara sehingga kini masih belum memperlihatkan kejayaan yang diinginkan. Kalau ada pun usaha yang dijalankan oleh Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) ia hanyalah dalam bentuk pasaran kecil seperti  edaran filem di Cannes, Perancis dan Hong Kong. Bagaimanapun, inisiatif yang dijalankan Finas itu belum memadai dan perlu ada usaha lain bagi mempertingkatkan pemasaran seni filem tempatan.Syarikat produksi tempatan perlu memainkan peranan yang besar dalam menjayakan pemasaran seni filem di dalam dan Negara. Pihak yang bertanggungjawab harus memainkan peranan bagi mengubah persepsi masyarakat agar menyokong dan tertarik dengan seni filem tempatan. Tidak seperti pemasaran produk biasa yang lain, masyarakat tempatan tidak terlalu memilih untuk menerima dan menggunapakai produk biasa yang ada dipasaran.Pemasaran produk biasa, selalunya dapat dipasarkan kepada setiap lapisan masyarakat, dan ianya dipasarkan berdasar kepada kehendak dan kemampuan diri individu yang memilihnya. Ini menyebabkan pemasaran produk biasa menjadi amat mudah untuk dipasarkan dimana-mana sahaja.


C) Nilai estetika.
            Selain itu, nilai estetika juga penting dalam mengeluarkan serta menghasilkan produk seni bagi menarik audiens. Pengkarya biasanya mementingkan kehalusan dan keindahan sesuatu hasil yang dibuat tanpa memikirkan harga kos. Kehendak dan kepuasan estetika dalam pemasaran seni juga bukan sahaja perlu ada pada pengkarya, malah kepada pengguna dan dan audiens. Pada era moden dan globalisasi seprti sekarang, manusia lebih cenderung untuk mendapatkan sesuatu produk yang lebih berunsurkan moden dan mempunyai nilai estetika. Pengguna dan audiens juga tidak akan merasai kos yang tinggi apabila mendapatkan barangan hasil daripada seni yang mempunyai nilai etetika. bagi menarik minat audiens, keindahan estetika yang perlu ada dalam produk seni yang dipasarkan nanti haruslah mempunyai unsure-unsur elemen seni seperti rupa,bentuk,warna,garisan, dan sebagainya.Ia juga perlu membawa maksud atau konsep yang mudah difahami oleh pengguna serta audiens. Berbanding dengan pemasaran produk biasa yang lainh, sesuatu produk kebiasannya lebih mementingkan fungsi,kos serta keuntungan tanpa mempedulikan nilai aestetika serta kepuasan dalam memasarkan sesuatu produk.

D) Kepercayaan pemasaran seni melalui internet.
             Pemasaran melalui internet adalah satu pemasaran yang berlaku di era globalisasi seperti kini. Pemasaran seni yang dibuat melaui internet  menjadi lebih mencabar dan  sukar berbanding dengan pemasaran yang dilakukan secara biasa. Ini berlaku kerana, pemasaran seni melalui internet memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menggunapakai kemudahan teknologi serta menarik minat pelanggan,terutamanya pemasaran yang berlaku di media sosial seperti di blog, facebook dan sebagainya. Elemen-elemen seni seperti gambar, perkataan, warna dan sebagainya perlulah di buat dengan baik supaya  pengunjung media sosial serta peminat tertarik dengan produk yang hendak dipasarkan. Secara tidak langsung,ianya menarik minat pengunjung media sosial untuk membeli barangan yang dipasarkan di internet. Pemasaran yang dilakukan di internet juga harus memberi keyakinan kepada pelanggan tentang produk yang ingin dipasarkan. Ini kerana, sesetengah masyarakat  kemungkinan tidak mempercayai pemasaran yang dibuat melalui internet. Segelintir daripada masyarakat risau barang yang ditempah melalui internet tidak memenuhi kriteria seperti mana yang dikehendaki mereka. Berbanding dengan pemasaran produk biasa yang dipasarkan secara biasa.Pemasaran secara biasa memberi peluang kepada pengguna untuk melihat sendiri produk yang dipasarkan secara langsung. Pengguna dapat berkomunikasi dengan pemasar secara langsung bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.  Produk yang dipasarkan juga diperolehi dengan mudah dan ianya  memberi kepercayaan kepada pengguna untuk membelinya.­­­­­­

E) Kemahiran pembuatan seni kraftangan.
            Selain itu, pemasaran bagi barang-barang kraftangan juga dianggap sebagai pemasaran seni yang mencabar dan sukar. Kehaluasan seni  kraftangan yang terdapat pada kain songket, keris, jalinan bakul, tembikar dan sebagainya memerlukan kemahiran tangan seseorang yang kreatif untuk membuatnya.Ketekunan,ketelitian, serta teknik yang betul harus ada pada seseorang bagi menghasilkan produk yang baik untuk dipasarkan.  Seni kraftangan juga perlu mempunyai makna, serta motif dan corak yang unik agar ianya mampu menarik minat pelanggan untuk memilikinya. Pembuatan produk kraftangan ini memerlukan pengkarya atau penggiat seni yang mahir serta teliti bagi memastikan hasil seni kraf yang dibuat bersesuaian dengan produk seni yang ingin dipasarkan. Ini merupakan cabaran yang harus disahut oleh penggiat seni bagi menghasilkan sesuatu hasil kraftangan yang baik di pasaran. Pemasaran produk seni ini tidak sama dengan sesetengah pemasaran produk biasa yang lain. Pemasaran produk biasa, ianya lebih mengharapkan penggunaan teknologi moden yang canggih serta telah ditetapkan rekabantuk sesuatu yang ingin dikeluarkan.Pemasaran produk biasa dapat dihasilkan  dengan cepat dan mudah berbanding pemasaran seni kraftangan yang menggunakan pembuatan secara tradisional dengan menggunakan tangan yang kreatif. Sokongan dan penghargaan daripada pelbagai pihak perlu wujud bagi mempergiatkan lagi pemasaran seni kraftangan di kalangan warga tempatan. Pemahaman tentang ilmu budaya,seni dan kraftangan perlu ditambah baik bagi menarik minat masyarakat untuk menghayati dan menghargai seni kaftangan Negara. Dalam menghasilkan produk seni kraftangan yang cantik dan menawan, ianya boleh dibahagikan kepada beberapa factor, iaitu kos dan kesan. Hasil sesuatu produk seni akan menjadi lebih cantik dan berkualiti sekiranya material yang digunakan baik dan dihasilkan oleh orang yang mahir dalam bidang tersebut. Pengusaha produk seni contohnya seperti pengusaha batik seharusnya mendapat sokongan daripada semua pihak samada kerajaan , swasta, atau individu dengan menyedari bahawa produk seni tersebut adalah salah satunya warisan, identiti dan pemasaran seni yang perlu disokong  serta dikekalkan. Pengusaha juga sewajarnya membuat kajian pasaran secara strategik tentang cara penghasilan dan pemasaran produk seni tersebut secara meluas dan berkesan. Mereka perlu memperkenalkan pelbagai produk seni seperti batik dengan corak yang sesuai dengan permintaan dan citarasa semasa. Dari segi persaingan dengan produk-produk luar seperti China dan India yang memanfaatkan teknologi mengakibatkan produk tempatan tidak kompetitif untuk menandingi produk luar dari segi kualiti dan harga. Malah, kelemahan penguatkuasaan dan kawal selia yang bersepadu menyebabkan berlaku lambakan produk-produk asing yang menjejaskan pendapatan karyawan tempatan. Kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam memajukan industri kreatif, namun di Negara ini perkembangan teknologi tidak dapat digunakan sepenuhnya berikutan kekurangan pengetahuan dan kemahiran. Aplikasi teknologi dalam industri kreatif berada di tahap minimum berbanding dengan keupayaannya yang begitu besar yang memerlukan daya kreativiti dan inovasi yang tinggi. Malah ,Indigeneous Knowledge (IK) seperti seni tenunan tidak dapat diurus dengan baik sehingga mewujudkan risiko kemahiran berkenaan pupus ditelan zaman.


F) Pembikinan sesebuah filem.
            Pembikinan sebuah filem adalah kerja seni kerana ia melibatkan aspek kesusasteraan, pemikiran dan kreativiti atau dalam kata erti lain menghasilkan filem adalah sebuah kerja seni dan semua filem adalah karya seni. Di dalam penghasilan filem banyak yang perlu diambil kira. Penghasilan skrip adalah langkah terawal dalam pembikinan filem dan ia merupakan tahap yang penting kerana skrip adalah akar sesebuah filem. Jika baik skripnya, maka baiklah filemnya dan begitu juga sebaliknya, idea yang bernas atau kreatif sentiasa di fikirkan oleh pengkarya seni sepanjang pengambaran. Penggambaran filem ini memang mencabar fizikal dan mental kerana mereka terpaksa bekerja adakalanya sehingga 18 jam sehari untuk mendapatkan shot-shot yang menarik bagi memberi impak dan kelainan untuk filem. Paling mencabar dan sukar dalam pemasaran seni filem adalah semasa memasarkan atau menjual vcd dan dvd yang original kerana selalu berlaku percetakan haram atau vcd cetak rompak yang dijual dengan murah dan sewenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Peniruan ini berlaku dengan cepat dan mudah hanya menggunakan video, penyebaran melalui internet dan sebagainya sehinggakan ada juga filem yang belum ditayangkan di pawagan lagi sudah tersebar seperti berlaku kepada pengarah Samsul Yusof dalam filem terbarunya KL Gangster . Berbeza dengan pemasaran produk biasa walaupun berlaku peniruan tetapi tidak mudah dan secepat dalam pemasaran seni filem. Perkara ini amat sukar dan susah dibendung oleh pengarah atau produksi untuk mengawal benda ini daripada berlaku dan ini telah menyebabkan kerugian yang besar. Selain itu pembikinan filem juga kadang-kala sukar untuk menarik perhatian penonton kerana masyarakat lebih menerima atau terpengaruh filem-filem luar yang lebih menarik. Jadi berlakulah persaingan di sini untuk pembikinan filem yang lebih bagus dan menarik dalam pengkaryaan filem untuk menarik atau menaikkan hasil pemasaran filem di pasaran.
G)  Pasaran dan Promosi.
            Seterusnya pasaran dan promosi. Bagi memastikan sebuah karya kreatif itu berjaya menembusi pasaran, sama ada tempatan mahupun luar Negara, aspek pemasaran dan promosi perlu diberi penekanan .Walau bagaimanapun,industri kreatif di Negara ini berhadapan dengan cabaran yang mana peluang keusahawanan oleh karyawan masih tidak jelas dalam konteks pasaran tempatan dan luar negeri. Malahan juga, industri ini berhadapan dengan kekangan kekurangan pakar dalam bidang pemasaran yang mapu mempromosikan dan memasarkan karya-karya kreatif tempatan ke pasaran serantau dan antarangsa. Penyediaan prasarana juga merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama oleh pihak kerajaan dan swasta. Tanggapan umum bahawa prasarana yang telah disediakan oleh kerajaan perlu diubah. Pihak swasta harus digalakkan untuk terlibat secara aktif dalam membangunkan industry seni.Selain itu, kemajuan prasarana secara terasing, kurang penyelarasan dan tidak boleh digunakan secara optimum merupakan antara cabaran dalam membangunkan industri ini. Manakala pemasaran produk biasa merupakan satu barangan, idea ataupun perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan pengguna. Ianya juga berperanan penting dalam membentuk dan mendapatkan idea untuk satu produk baru menjadi satu produk yang lain. Ianya merupakan  satu cabaran besar kepada pemasar yang seharusnya mengambilkira persekitaran yang sentiasa berubah.  Contohnya perubahan teknologi, keperluan dan kehendak pengguna dan persekitaran ekonomi. Pemasaran produk biasa biasanya terdapat permintaan tinggi untuk barang-barang dan perkhidmatan, kuasa-kuasa penawaran dan permintaan yang bergerak untuk menetapkan harga .Ianya juga berkait rapat dengan cabaran ledakan teknologi maklumat. Kemajuan di dalam bidang teknologi maklumat dan telekomunikasi telah memberi kesan ke atas syarikat-syarikat bagi memberi nilai kepada pelanggan-pelanggan mereka. Ledakan maklumat membolehkan pengurus-pengurus pemasaran mempelajari dan menjejaki pelanggan, mencipta dan mereka bentuk produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan, mengagih produk dengan lebih cekap dan efektif serta berkomunikasi dengan pelanggan sama ada dalam kumpulan yang besar atau orang perseorangan . Contohnya, dengan menggunakan komputer yang berkeupayaan tinggi, pemasar boleh mewujudkan pangkalan data yang terperinci untuk mensasarkan tawaran-tawaran kepada pelanggan-pelanggan mereka. Dalam memenuhi kehendak pengguna, selalunya menyebabkan berlakunya perubahan kepada produk sedia ada. Antaranya ialah dari segi harga. Ianya berkaitan dengan pemilihan harga yang bersesuaian bagi sesuatu produk.  Perletakan harga mestilah mengambilkira kesemua kos yang terlibat seperti kos operasi pengeluaran, pentadbiran, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan, kos pemasaran, iklan dan gaji pekerja.  Dalam masa yang sama, harga produk tidak boleh terlalu tinggi dimana ini akan menyebabkan pengguna memilih produk saingan.  Harga produk yang tinggi selalunya tidak dapat meningkatkan jumlah jualan yang tinggi tetapi cukup untuk mendapatkan untung yang besar.  Bagi sesetengah produk, harga yang tinggi akan dikaitkan dengan produk yang berkualiti tinggi.  Syarikat juga boleh mengenakan harga yang rendah dan ini akan meningkatkan jumlah jualan dan seterusnya meningkatkan keuntungan. Seterusnya dari aspek promosi dalam menyampaikan maklumat mengenai sesuatu produk, ia merupakan aspek yang paling menonjol dalam panduan pemasaran.  Alat-alat promosi yang paling pentingnya ialah berbentuk iklan. Iklan ialah satu bentuk komunikasi bukan personal yang digunakan oleh penaja untuk memaklumkan kepada bakal pembeli mengenai sesuatu produk. Jualan Peribadi atau terus, juga turut dilakukan iaitu jualan dari pintu ke pintu dimana penjual akan menerangkan kepada bakal pembeli mengenai produk mereka.  Banyak barangan industri menggunakan kaedah ini untuk meningkatkan jualan  disamping memberikan perkhidmatan tambahan.  Wakil jualan akan menunjukkan kaedah penggunaan kepada pelanggan terutama untuk alatan atau produk yang teknikal dan canggih. Seterusnya promosi jualan. Kaedah ini selalu digunakan untuk produk yang tidak begitu mahal, dimana ia melibatkan satu tarikan kepada bakal pembeli.  Hadiah percuma, kupon dan potongan harga ditawarkan kepada pembeli untuk menarik minat mereka membeli produk tersebut. Fungsi publisiti atau perhubungan awam yang melibatkan semua bentuk komunikasi dalam membina imej baik syarikat serta produk keluarannya juga turut memainkan peranan yang sangat penting.

H) Teknologi.
            Era Teknologi Maklumat dan Informasi (ICT) kini, adalah merupakan era  yang dapat mengubah cara hidup manusia sejagat. Teknologi maklumat telah berjaya merempuh gaya hidup bersastera sehingga menyebabkan ada yang mempertikaikan kerelevanan sastera dalam era siber hari ini. Strategi pemasaran seni bagi sesebuah organisasi akan memberi pengaruh dan kesan drastik dalam kemajuan teknologi pada masa kini. Menurut Kotler (1991), persekitaran teknologi yang terdiri daripada kuasa-kuasa besar akan memberi kesan terhadap teknologi baru, penciptaan keluaran baru dan peluang pasaran seni. Pengetahuan yang kurang dan keupayaan yang besar memerlukan daya kreativiti dan inovasi yang tinggi dalam penggunaan teknologi yang tinggi dalam industri pemasaran seni. Biasanya, penerbitan dan pembuatan produk industri seni akan menggunakan peralatan teknologi yang tinggi seperti penggunaan Software dan filem berbentuk  3D.  Pembikinan filem berbentuk 3D hanya dapat dilakukan oleh pekerja-pekerja yang mahir dalam bidang masing-masing bagi menghasilkan filem yang bermutu tinggi dan berkualiti. Namun begitu, tenaga mahir dalam bidang ini masih tidak ramai yang mampu membikinkan filem 3D kerana tidak mempunyai berkemahiran. Filem 3D mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana ia seakan-akan realiti.

I) Faktor sosio-budaya.
            Hal ini dapat dilihat dalam peringkat umur, perbezaan jantina dan keetnikan dalam perubahan demografi. Umur ialah salah satu faktor dalam pemilihan sesuatu produk semasa memilih barangan seni seperti mana yang dilakukan oleh setiap orang. Perbezaan jantina antara wanita dan lelaki memainkan peranan penting  yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dalam pemasaran kesenian. Pemasaran seni yang baru dapat dikembangkan dengan percampuran budaya dan pelbagai kaum melalui penerbitan sepert seni filem baru, dan sebagainya. Keperluan dan permintaan adalah dua perkara yang berbeza untuk mendapatkan sesuatu produk oleh pengguna dan peminat tidak kira dari pelbagai peringkat umur, jantina dan keetnikan. Keperluan adalah kepentingan manusia yang terhasil secara semulajadi dalam diri manusia tetapi boleh dipengaruhi oleh sesuatu aktiviti pemasaran untuk tujuan mengaut keuntungan pihak atasan. Manakala permintaan pula adalah individu  yang mempunyai keinginan dan  berkemampuan untuk membeli. Kehendak tersebut akan bertukar menjadi permintaan.  Nilai pula  dapat dilihat dalam perbezaan antara faedah memiliki dan menggunakan produk seni yang dibeli dengan kos untuk mendapatkan sesuatu demi kepentingan diri pembeli. Selain itu,  kepercayaan pengguna dan pegangan agama masyarakat dalam perbezaan persekitaran yang juga akan mempengaruhi pemasaran seni.


Kesimpulan.
            Pemasaran seni merupakan sistem aktiviti perniagaan yang dibentuk untuk merancang dan melaksanakan konsep, iaitu penentuan harga, promosi dan pengedaran seperti barang serta perkhidmatan, organisasi, individu, tempat, dan idea untuk menggalakkan berlakunya pertukaran yang dapat memenuhi keperluan pengguna dan pada masa yang sama dapat mencapai objektif dalam organisasi. Salah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di negara-negara maju adalah melalui industri kreatif. Contohnya, industri kreatif ini telah menyumbang USD$3 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat. Manakala di Malaysia pula, industri kreatif telah menyumbang sebanyak RM9.4 bilion kepada KDNK Negara pada tahun 2008 dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang berpendapatan tinggi dan memartabatkan budaya bangsa. Dalam bidang pentadbiran, Kementerian telah mengadakan Persidangan Industri Kreatif pada 17 Mac 2009 setelah menyedari kepentingan industri ini di Malaysia. Industri kreatif ini akan dibangunkan secara bersepadu dan terancang melalui satu dasar dan hala tuju yang komprehensif. Malah, Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) telah digubal sebagai satu dasar induk bagi menetapkan prinsip-prinsip asas pembangunan industri kreatif secara giat dan produktif. Ianya perlu  bagi mempertingkatkan ekonomi dalam sektor awam dan swasta.



Ahad, 24 November 2013

Tony Mandarin: New HSK Test Dates of Year 2013

Tony Mandarin: New HSK Test Dates of Year 2013: The new HSK is an international standardized exam that tests and rates Chinese language proficiency. It assesses non-native Chinese sp...